Selamat Bercuti! Tips Berguna Daripada TNB

Menyedari musim cuti sekolah yang baru bermula, Tenaga Nasional Berhad (TNB) hari ini menasihatkan golongan ibu bapa supaya mengawasi aktiviti anak-anak mereka supaya tidak melakukan perkara yang boleh membahayakan keselamatan.
TNB melalui satu kenyataan media memberitahu, golongan ibu bapa juga dinasihatkan supaya menggesa anak-anak mereka agar mematuhi beberapa panduan yang dikemukakan TNB bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.
“Panduan itu adalah jangan bermain layang-layang atau alat kawalan jauh seperti helikopter berdekatan talian atas bervoltan tinggi dan jangan memancing di kolam atau tasik yang terletak di bawah talian bervoltan tinggi serta menghindari daripada melempar alatan logam berdekatan pepasangan atau menara talian elektrik.
“Ibu bapa juga perlu menasihati anak-anak supaya tidak menyentuh suis dengan tangan yang basah atau lembab serta tidak menyentuh atau menghampiri wayar yang terputus akibat pokok yang tumbang terutama ketika hujan,” kata kenyataan itu hari ini.
Menurut kenyataan itu, orang ramai juga digesa mematuhi notis makluman tentang potensi risiko talian atas bervoltan tinggi yang dipasang di kawasan strategi dan mengelak daripada membawa peralatan panjang seperti galah di bawah talian kerana ia boleh menyebabkan renjatan arca.
Jelas TNB, Talian atas dengan voltan tinggi bagaimanapun kebiasaannya tidak berbahaya dan selamat kepada orang awam sekiranya langkah berjaga-jaga diambil berat termasuk mematuhi panduan keselamatan TNB.

Suasana Pembelajaran dan Pengajaran di PPKI SKTM2


Murid PK Iltizam begitu seronok mempelajari nyanyian dalam bahasa isyarat Kod Tangan Bahasa Melayu KTBM yang dibimbing oleh guru muzik, Cikgu Raja Mazni

Cikgu Ezatul sedang menyemak hasil kerja murid PK Ehsan 

Setiap murid dibimbing dengan sepenuhnya semasa matapelajaran Pendidikan Islam JQaf. Murid PK Murni sedang tekun menulis dan membaca yang dibimbing oleh Ustazah Noor Ashikin bersama seorang guru ganti.

Kelihatan Adeeb dan Raiyan dari PK Iltizam begitu meminati instrumen keyboard ini. 
Murid PK Wawasan bersama hasil seni yang telah dihasilkan mereka atas bimbingan dan tunjukcara oleh Cikgu Suriani
Cikgu Norhuda bersama pembantu pengurusan murid, Che Norul Aini sedang membimbing murid PK Teguh melakukan aktiviti motor halus iaitu memasukkan jarum plastik ke dalam lubang.

Kursus Dalaman VLE Frog 1Bestarinet

Persekitaran Pembelajaran Maya Frog, atau lebih dikenali sebagai VLE (Virtual Learning Environment) ialah satu sistem pembelajaran berdasarkan jaringan yang menyerupai pembelajaran dunia sebenar dengan mengintegrasikan konsep pendidikan konvensional dengan kaedah maya. Sebagai contoh, guru-guru dapat memberi tugasan, ujian dan menyemak tugasan secara maya, sementara pelajar dapat menghantar tugasan serta menyemak markah menerusi VLE.

Kursus Pendek VLE Frog memberi pendedahan awal bagi para guru untuk membina dan merancang laman VLE masing-masing. Seterusnya, dapat diakses oleh ibubapa dan juga murid-murid sedikit masa kelak secara maya di atas talian.
Para guru dan pelajar boleh mengakses berita sekolah dan dokumen penting yang telah dikemaskinikan oleh pentadbir sekolah. Menerusi Frog VLE dan sambungan internet 4G, pendidikan boleh dilaksanakan di mana jua, pada bila-bila masa melalui Frog VLE yang berasaskan cloud. Dengan ini, pembelajaran boleh dilaksanakan di mana-mana: di sekolah ataupun di rumah, 24 jam sehari, 7 hari seminggu!

Program Latihan Kebakaran


Tepat jam 9.00 pagi tadi, loceng amaran kebakaran berdering panjang. Jika di dalam situasi sebenar, ini menandakan ada kebakaran sedang berlaku. Guru yang berada di dalam kelas, perlu bertindak membawa murid masing-masing ke tempat berkumpul yang telah disediakan. Sebagai contoh, murid dari blok A dan B perlu berkumpul di tapak perhimpunan. Manakala murid dari blok C dan D perlu berkumpul di padang. 

Murid-murid ppki juga tidak ketinggalan bersama-sama melibatkan diri di dalam latihan kebakaran ini. Alhamdulillah, kelainan mereka tidak mendatangkan kepincangan dalam latihan ini. Daripada permulaan latihan sehinggalah ke penghujungnya, semua murid ppki dapat mendisiplinkan diri dan berada dalam keadaan yang terkawal. 


Latihan berkala ini sedikit sebanyak dapat melatih murid-murid ppki mengenal betapa bahayanya api dan belajar bagaimana untuk menyelamatkan diri sendiri.  

Majlis Perpisahan Nun Amirah Bte Adnan

Majlis yang serba ringkas ini telah diadakan pada jam 12.00 tengahari tadi sempena meraikan majlis perpisahan Cikgu Nun Amirah Bte Adnan. Tanpa disedari sudah hampir dua bulan beliau ditugaskan menggantikan Ustazah Nor Ashikin Bte Salleh @ Ghazali yang sedang bercuti bersalin. Walaupun majlis yang diadakan agak ringkas, namun sedikit sebanyak telah meninggalkan kesan terhadap murid-murid PPKI SKTM2. Pihak sekolah mengucapkan ribuan terima kasih di atas sumbang bakti beliau terhadap PPKI SKTM2 khasnya. 
 

                                    

Majlis Pertukaran Puan Siti Azmah (GPK Kokurikulum) ke SK Kuala Ampang 1

Isnin, 17 Mac 2014 merupakan salah satu hari yang akan tercatit di dalam sejarah. Selain perhimpunan pagi kali pertama menggunakan dewan terbuka yang serba baru, pada pagi ini juga telah diadakan satu majlis perpisahan untuk Puan Siti Azmah Bte Kulilan (GPK Kokurikulum). Beliau telah dinaikkan pangkat menjadi guru besar di SK Kuala Ampang 1 berkuatkuasa Mac 2014. PPKI SKTM2 mengucapkan sekalung tahniah!
 


Program Mewarna Sempena #weprayforMH370


ISU yang sedang hangat diperkatakan sekarang terutama di media-media sosial ialah mengenai kehilangan pesawat Malaysian Airlines MH370 yang membawa sebanyak 239 orang termasuk 12 anak kapal dan dua bayi dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Beijing, China.

Dari kiri Daniel Raiyan, Niyaz dan Imran dari  Kelas PK Iltizam

Ketua Pegawai Eksekutif Mas, Ahmad Jauhari Yahya berkata, pesawat tersebut masih tidak dapat dikesan sejak dilaporkan hilang pada pukul 2.40 pagi tadi selepas dua jam berlepas di kawasan perairan Laut China Selatan sempadan antara Malaysia dan Vietnam.

Terdapat 12 anak kapal dalam pesawat itu di samping  152 dan seorang bayi warganegara China, Malaysia (38), Indonesia (12), Australia (7) dan Perancis (3).

Pesawat itu dikendalikan Kapten Zaharie Ahmad Shah, 53, bersama pegawai kanan, Fariq Ab. Hamid, 27.

Zaharie mempunyai pengalaman sebanyak 18, 365 jam penerbangan dan telah berkhidmat sejak tahun 1981 manakala Fariq mula berkhidmat sejak 2007 dan memiliki jumlah jam penerbangan 2,763.   



Pesawat Boeing 777 yang hilang itu pula berusia 11 tahun 10 bulan

Jabatan Penerbangan Awam (DCA) mengesahkan kali terakhir pesawat itu berkomunikasi dengan menara kawalan pada pukul 1.30 pagi dan  dikesan pada kedudukan longitud 06 darjah 55 minit 15 saat Utara dan latitud 103 darjah 34 minit 43 saat Timur.

Reuters memetik laporan agensi berita Xinhua berkata hubungan radar dengan pesawat tersebut dikesan hilang ketika di ruang udara dikawal Vietnam.

Pesawat itu dilaporkan tidak memasuki ruang udara China dan tidak melakukan sebarang komunikasi dengan pihak kawalan udara.


Atas keprihatinan guru-guru PPKI SKTM2 terhadap isu semasa, satu aktiviti mewarna telah dijalankan. Hasil mewarna tersebut telah dipamerkan di kawasan pejalan kaki lima sekolah.