Menyedari musim cuti sekolah yang baru bermula, Tenaga Nasional Berhad (TNB) hari ini menasihatkan golongan ibu bapa supaya mengawasi aktiviti anak-anak mereka supaya tidak melakukan perkara yang boleh membahayakan keselamatan.
TNB melalui satu kenyataan media memberitahu, golongan ibu bapa juga dinasihatkan supaya menggesa anak-anak mereka agar mematuhi beberapa panduan yang dikemukakan TNB bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.
“Panduan itu adalah jangan bermain layang-layang atau alat kawalan jauh seperti helikopter berdekatan talian atas bervoltan tinggi dan jangan memancing di kolam atau tasik yang terletak di bawah talian bervoltan tinggi serta menghindari daripada melempar alatan logam berdekatan pepasangan atau menara talian elektrik.
“Ibu bapa juga perlu menasihati anak-anak supaya tidak menyentuh suis dengan tangan yang basah atau lembab serta tidak menyentuh atau menghampiri wayar yang terputus akibat pokok yang tumbang terutama ketika hujan,” kata kenyataan itu hari ini.
Menurut kenyataan itu, orang ramai juga digesa mematuhi notis makluman tentang potensi risiko talian atas bervoltan tinggi yang dipasang di kawasan strategi dan mengelak daripada membawa peralatan panjang seperti galah di bawah talian kerana ia boleh menyebabkan renjatan arca.
Jelas TNB, Talian atas dengan voltan tinggi bagaimanapun kebiasaannya tidak berbahaya dan selamat kepada orang awam sekiranya langkah berjaga-jaga diambil berat termasuk mematuhi panduan keselamatan TNB.