Pendidikan khas adalah perkhidmatan dan kemudahan pendidikan yang
disediakan untuk individu berkeperluan khas, atau kurang upaya, yang
terdiri daripada mereka yang mengalami kecacatan mental, bermasalah
pembelajaran, gangguan emosi dan tingkah laku, gangguan
komunikasi(pertuturan dan bahasa), hilang pendengaran, hilang
penglihatan atau darjah penglihatan yang rendah, kecacatan fizikal dan
golongan pintar cerdas.
Kementerian Pelajaran Malaysia menurut
Akta Pendidikan 1996, Peraturan-peraturan Pendidikan (Pendidikan Khas
1997 Bahagian II 3(2) menyediakan pendidikan khas dan kemudahan untuk
murid bermasalah penglihatan dan pendengaran, manakala pendidikan khas
integrasi pula adalah untuk yang bermasalah pembelajaran, penglihatan,
dan pendengaran.
Ia diwujudkan di peringkat prasekolah, sekolah harian biasa rendah
dan menengah serta sekolah menengah teknik atau vokasional, dengan
menggunakan pendekatan pengajaran berasingan dan separa inklusif. Tempoh
pengajian bagi sekolah rendah adalah selama enam tahun, manakala bagi
sekolah menengah pula selama lima tahun dan dilanjutkan sehingga dua
tahun maksimum mengikut keperluan murid.
Bilangan murid pendidikan khas rendah dan menengah di seluruh Malaysia adalah
seramai 2912, manakala guru pula ialah seramai 630. Terdapat sebanyak
28 buah sekolah rendah, iaitu lima(kanak-kanak buta), dan 23
(kanak-kanak pekak). Manakala bagi sekolah menengah rendah pula,
terdapat tiga buah sekolah pendidikan khas iaitu, satu (kanak-kanak
buta) dan tiga (kanak-kanak pekak). Bilangan murid pendidikan khas
integrasi pula adalah seramai 11 961, manakala gurunya pula adalah
seramai 2587 orang.
Syarat-syarat kemasukan ke sekolah pendidikan khas pula adalah;
Tadika(berusia tidak kurang 6 tahun), Sekolah Rendah(berusia 6+ hingga
14+ tahun) dan Sekolah Menengah (13+ hingga 19+ tahun. Semua kanak-kanak
ini mestilah mendapat pengesahan daripada doktor terlebih dahulu dan
dapat menguruskan diri sendiri tanpa bantuan individu atau orang lain.